‘GST tak masuk akal’, PR Johor junjung titah Sultan
JOHOR BAHRU: Pakatan Rakyat Johor menjunjung titah Sultan Johor baru-baru ini yang menyifatkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ‘tidak masuk akal’.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu menangani isu yang dibangkitkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dengan lebih serius dan penuh tanggungjawab.
“Kerajaan Johor telah mengambil jalan pintas apabila mengambil keputusan menyerap sejumlah lebih kurang RM3.19 juta dari peruntukan negeri bagi menampung kos GST yang dikenakan ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT)," ujarnya dipetik Roketkini.
Ahli Parlimen Kluang itu juga mencadangkan agar kerajaan negeri menggembleng usaha bersama kerajaan-kerajaan negeri yang lain bagi menyatakan pendirian bersama seterusnya diajukan kepada Majlis Kewangan Nasional berhubung isu GST yang membebankan rakyat itu.
“Jangan ambil jalan pintas. Jangan mengelak dari isu sebenar. Isu sebenarnya ialah, sistem GST perlu dihentikan segera. Rakyat menerima bebanan besar dari GST. Rakyat menjadi mangsa!” ujarnya.
Dalam satu sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Johor pula, Adun Bukit Batu, Jimmy Puah pula berkata, beliau amat yakin bahawa semua rakyat Johor juga pasti menyokong titah Tuanku dan amat berterima kasih atas keprihatinan Tuanku dan kepekaan terhadap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat akibat cukai tersebut.
“Sewa gerai kena GST, sewa rumah dari pihak negeri kena GST malah untuk proses tukar nama untuk cukai harta di PBT pun kena GST juga. Dahulu satu borang I untuk tukar nama perlu bayar RM50. Sekarang sudah jadi RM53,″ ujarnya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Adun Skudai Dr Boo Cheng Hau, Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan serta wakil-wakil rakyat yang lain.
Dalam sidang media yang sama, Pakatan Rakyat Johor turut mengambil maklum ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin pada 8 Mei lalu yang telah meminta pihak Kastam memandang serius dan mengambil tindakan segera terhadap intipati titah Tuanku berhubung isu GST.
Menurut mereka, Khaled tidak boleh sekadar memindahkan tanggungjawab menyelesaikan isu GST kepada pihak Kastam semata-mata.
Malah, sebagai ketua eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri dan dengan peruntukan kuasa yang ada, Khaled sewajarnya bertindak lebih tegas dan berkesan.
Post a Comment